Tuesday 15 November 2011

UNIVERSITI PERGURUAN SULTAN IDRIS

KENEGARAAN

HNS 2013



TUGASAN 3

    SOALAN NO.6

NAMA: MAKHFUZAH BINTI ISMAIL

NO MATRIK: D20102046800

NO K/P: 740910035880

TELEFON: 013-9220395

EMAIL: makhfuzah@gmail.com

NAMA PENSYARAH: DR. BAHARUDDIN BIN JABAR(K00578)





PENGENALAN

Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Kemajuan yang dinikmati sekarang adalah hasil dari perpaduan erat antara pelbagai kaum di negara ini. Pendidikan di Malaysia bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan sumber manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Ini kerana dasar pendidikan merupakan dasar yang penting ke arah pemupukan integrasi dan perpaduan rakyat. Melalui dasar pendidikan kerajaan akan dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum yang ada. Pada masa yang dapat mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di Malaysia.



DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan  pemimpin  dan  rakyat  Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi  kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran)  Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957.  Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki  pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan  negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.



Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dengan tidak menekan semangat  pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah  Melayu  yang  terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.



OBJEKTIF DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu: "BAHAWASANYA  dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..."  Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja  ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.



Seterusnya, objektif-objektif  ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih. Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang  berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.



STRATEGI PELAKSANAAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

       i.          Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama;

     ii.          Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah;

   iii.          Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;

   iv.          Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;

     v.          Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;

   vi.          Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;

 vii.          Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;

viii.          Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)  pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;

   ix.          Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

     x.          Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

   xi.          Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

 xii.          Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

xiii.          Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.



Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan  dengan  mengada  dan  memperkembangkan  tenagapengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Di antaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.



1.     Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) telah dilancarkan pada 31 Mac 2006 iaitu rancangan lima tahun pertama dari tiga rancangan lima tahun yang akan memacu Misi Nasional ke arah mencapai Wawasan 2020. Rancangan ini merupakan kesinambungan perancangan kerajaan membentuk sebuah negara yang maju ekonominya, seimbang pembangunan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh.  Peranan pendidikan amat penting dalam menjayakan Misi Nasional dan dua dari lima teras tersebut iaitu teras kedua dan teras ketiga menyatakan peranan pendidikan secara langsung (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007).



Bagi menyahut dan menjayakan agenda pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 –2010 (PIPP) yang merupakan pelan pembangunan pendidikan paling menyeluruh dan komprehensif. PIPP telah dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 16 Januari 2007 dengan tujuan untuk mengadakan seluas-luas jaringan perhubungan pendidikan, meningkatkan ekuiti serta memastikan pendidikan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia dalam arus pembangunan negara menjelang 2020 (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2007).



Pelan teras strategik yang diberi tumpuan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) adalah pelan pendidikan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira taraf sosioekonomi, latar belakang, agama mahaupun warna kulit mereka. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) menggariskan enam teras utama bagi menjayakan Misi Nasional dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) iaitu:

i.  Membina negara bangsa

ii.  Membangun modal insan

iii. Memperkasa sekolah kebangsaan

iv. Merapatkan jurang pendidikan

v. Memartabatkan profesion keguruan

vi. Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan

Membina Negara Bangsa dalam konteks Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) adalah untuk menyokong hasrat negara bagi memperkukuh perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia yang dapat memenuhi keperluan negara untuk mencapai 1Malaysia. Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia membina Negara Bangsa melalui pendidikan adalah untuk melahirkan pelajar yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta hidup bersatu padu. Kementerian Pelajaran Malaysia bertanggungjawab untuk menyemai nilai-nilai ini sejak pelajar di bangku sekolah lagi (Kementerian Pelajaran Malaysia, t.t).



2.         Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meningkatkan jati diri, perasaan sayang terhadap kesenian dan warisan bangsa, semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan pelajar. Antaranya adalah memperkasakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan menerusi peranan yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada tahun 2007, langkah memperkasakan Bahasa Malaysia telah dibuat melalui usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1959) agar penggunaan Bahasa Malaysia dengan betul dapat dipantau dan dikuatkuasakan. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah meningkatkan lagi kualiti penerbitan dan penterjemahan buku-buku Bahasa Malaysia serta menyemarakkan aktiviti promosi cintakan Bahasa Malaysia menerusi pelbagai program dan aktiviti termasuk program Bulan Membaca dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa). Bagi memupuk semangat patriotisme yang lebih mantap dan bekerjasama terarah dalam kalangan rakyat Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia telah bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Biro Tata Negara (BTN) dalam menyediakan Memorandum Jemaah Menteri bagi menubuhkan Majlis Patriotisme Negara (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008).



Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak dipertanggungjawabkan dalam tugas memperkasakan Bahasa Kebangsaan turut melaksanakan tugas memperkasa sastera kebangsaan  serta bertanggungjawab dalam penerbitan buku-buku  berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Selain dari DBP, agensi lain yang terlibat dalam program Memperkasa Bahasa Kebangsaan adalah Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu,  Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum serta Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti. Projek-projek yang dijalankan ini mampu memberi impak yang lebih kepada kumpulan sasaran dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.  Dengan adanya usaha gigih semua agensi pelaksana di Kementerian Pelajaran Malaysia serta disokong dengan jaringan kerjasama yang mantap daripada agensi-agensi luar, gerakan memperkasakan Bahasa Kebangsaan dapat memperkukuh peranan Bahasa Kebangsaan dalam usaha Membina Negara Bangsa ke arah matlamat memupuk integrasi dan perpaduan kaum.



Cabaran Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia berazam untuk memberikan penghormatan dan menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu untuk memperkasakan kedudukannya. Kementerian Pelajaran Malaysia bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) , Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) terus mempererat jalinan dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian  dan Warisan (KeKKWa) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) untuk memberi suntikan baru dalam gerakan memperkukuh Bahasa Melayu. Unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan dijadikan teras Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum agar perpaduan yang diwujudkan mampu menangkis gejala-gejala seperti perkauman, keturunan, agama, bahasa dan perasaan kedaerahan yang boleh memecahbelahkan rakyat (Kementerian Pelajaran Malaysia, t.t).  



Kerajaan pada 8 Julai 2009 juga telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar ini digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia sangat jelas kerana ia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai matlamat 1Malaysia (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010).



3.         Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)

Bagi memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar di sekolah yang berlainan aliran, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkukuh dan menyegarkan lagi pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) ialah hasil ilham bekas Perdana Menteri Y.A.B Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada tahun 1986 ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran Malaysia. Pada peringkat awal, pelaksanaan RIMUP tertumpu pada peringkat sekolah rendah dan merangkumi pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan sukan secara bersama oleh pelajar pelbagai kaum. Kefahaman terhadap konsep serta perancangan aktiviti tidak diberi penekanan secara menyeluruh pada peringkat negeri daerah dan sekolah (Kementerian Pelajaran Malaysia, t.t).



            Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Sekretariat dan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan, Sekretariat Tetap Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan Jawatankuasa Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat negeri, daerah dan sekolah bagi pelaksanaan yang berkesan dan menyeluruh di setiap peringkat. Program ini telah diperkukuhkan lagi berikutan keputusan peruntukan Jemaah Menteri pada Januari 2007 yang meluluskan tambahan sebanyak RM25.8 juta bagi pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan e-integrasi.



Sepanjang tahun  2007, sebanyak 1,387 kelompok sekolah rendah, iaitu yang terdiri daripada 7,563 buah sekolah dan melibatkan seramai 1,951,551 orang murid telah melaksanakan Program RIMUP. Bagi tempoh yang sama, 540 buah kelompok sekolah menengah, iaitu yang terdiri daripada 1, 976 sekolah dan melibatkan seramai 1,569,460 orang murid turut terlibat melaksanakan RIMUP. Sebagai langkah untuk menjadikan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) lebih segar, berorientasi teknologi dan menyeronokkan, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menerapkan elemen baru seperti pertandingan F1 In Schools dan Robotik dalam pelaksanaannya. Sebagai permulaan, sebanyak 17 pasukan  F1 In Schools dan 40 pasukan Robotik yang terdiri daripada gabungan murid dari sekolah pelbagai jenis dan aliran di seluruh negara telah menyertai pertandingan  F1 in Schools dan Robotik yang diadakan semasa Khemah Perpaduan dan Integrasi Pemimpin Murid pada Ogos 2007 (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008).

           

Tujuan Kementerian Pelajaran Malaysia menggerakkan semula Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan memberikannya  pendekatan yang lebih  segar adalah sebagai salah satu langkah untuk membolehkan pelajar di sekolah yang majoriti  pelajarnya terdiri daripada satu kaum sahaja berinteraksi dan bergaul dengan pelbagai kaum dari sekolah lain. Konsep pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) ini diperkukuhkan lagi dengan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, pentadbiran sekolah, guru  dan pelajar dari  peringkat sekolah rendah hingga menengah dalam kegiatan khas secara bersama. Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) mempunyai tiga komponen utama iaitu akademik, kokurikulum dan sukan serta e-integrasi dan dilaksanakan melalui kegiatan dalam enam bidang berikut:

  1. Aktiviti kecemerlangan akademik
  2. Aktiviti kesukanan dan permainan  
  3. Aktiviti kokurikulum
  4. Aktiviti khidmat masyarakat
  5. Aktiviti meningkatkan patriotisme 
  6. Aktiviti virtual melalui e-integrasi (Kementerian Pelajaran Malaysia, t.t).



PENCAPAIAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA


Di dalam menilai pencapaian semasa, dua matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan yang hendak dilihat ialah:

       i.          Sama ada pelaksanaan sistem pendidikan dan kurikulum yang ada sekarang  dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat dalam jangka pendek dan jangka panjang yang diperlukan oleh negara; dan

     ii.          Sama ada sistem pendidikan negara telah dapat melahirkan rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.



Untuk mengetahui dengan tepat sama ada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat adalah satu  perkara yang sukar. Hakikat ini diakui oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan. Antara sebab-sebab yang dinyatakan ialah kurangnya kajian-kajian dibuat khusus untuk meneliti kedudukan dan keperluan tenaga rakyat negara ini. Keperluan tenaga rakyat yang bergantung kepada perkembangan ekonomi negara memang sukar ditentukan memandangkan perkembangan itu sangat dipengaruhi oleh iklim ekonomi dunia yang berubah-ubah. Namun begitu, hasil dari pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini, tenaga rakyat yang dihasilkan pada keseluruhannya dapat memenuhi keperluan gunatenaga negara kecuali di beberapa bidang tertentu. Selaras dengan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga telah dapat merapatkan jurang pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum sama ada di dalam sektor awam ataupun swasta.


Di samping itu ianya telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya bagi kaum bumiputera yang berpendidikan. Mengenai matlamat melahirkan rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih, ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ini telah tercapai. Misalnya kurikulum yang sama dan bercorak kebangsaan telah sedikit sebanyak menimbulkan dan memupuk perasaan dan kesedaran kebangsaan Malaysia di kalangan mereka yang melalui sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, sukar dipastikan sama ada perasaan dan kesedaran itu telah membuahkan perpaduan. Malah, walaupun perpaduan wujud sekarang ini, sukar hendak dikatakan bahawa ia adalah hasil daripada sistem pendidikan semata-mata kerana perpaduan bukannya bergantung  kepada satu faktor sahaja walaupun sistem pendidikan merupakan satu daripada faktor- faktor penting yang perlu diambil kira. Pendidikan dan Latihan di Bawah Rancangan Malaysia Keenam Program pendidikan dan latihan akan dimaju dan dipertingkatkan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (91-95) ini untuk melahirkan tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan terlatih.


Setiap individu akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai, tetapi juga untuk melahirkan warganegara yang bertangungjawab serta mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang kukuh. Keutamaan yang lebih kepada pendidikan dan latihan kerana ia akan membantu kepada pencapaian matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN,) terutama untuk membasmi kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat. Penyediaan lebih banyak peluang pendidikan dan latihan akan diberikan kepada golongan yang berpendapatan rendah, ini akan meningkatkan pendapatan dan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dan selanjutnya menyumbangkan peningkatan agihan pendapatan. Kementerian Pelajaran Malaysia telah berjaya memantapkan perpaduan dan integrasi nasional dengan menjalankan sebanyak 20 (92.3%) aktiviti dengan baik. Antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan 100 peratus adalah Lafaz Ikrar Rukun Negara dan menyanyikan lagu Lima Prinsip Rukun Negara, lagu Kebangsaan dan lagu Negeri pada waktu perhimpunan sekolah, kuiz dan perbahasan, pertandingan paluan  kompang sekolah menengah dan sekolah rendah, konsert Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta memperbanyak program berkonsepkan patriotisme melalui aktiviti kokurikulum.


Selain itu, sehingga Disember 2007, sebanyak 100 buah sekolah rendah dan 250 buah sekolah menengah telah menubuhkan Kelab Rukun Negara dengan bilangan murid sebanyak 100 ribu orang. Pada masa ini juga, setiap Pejabat  Pelajaran Daerah (PPD) telah menubuhkan sebuah Kelab Rukun Negara masing-masing.  Sebanyak 600 aktiviti ceramah, syarahan dan perbahasan telah dilaksanakan berbanding 550 aktiviti pada tahun 2006 dari peringkat sekolah hingga peringkat kebangsaan bagi mengupas pengetahuan tentang inti pati Perlembagaan Negara (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008).



KESIMPULAN

Melalui dasar pendidikan, kerajaan dapat memupuk semangat integrasi di kalangan rakyat berbilang kaum. Dengan dasar ini pihak kerajaan boleh melaksanakan serampang dua mata dalam usaha menyatupadukan rakyat. Pendidikan merupakan satu kaedah yang paling berkesan dalam mendedahkan rakyat terutama golongan pelajar mengenai dasar-dasar kerajaan dan pada masa yang sama mereka lebih memahami dan terdedah dengan persekitaran yang berbilang bangsa. Melalui dasar pendidikan integrasi dan perpaduan kaum dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan memberi pulangan yang baik untuk masa depan.





Rujukan

Buletin Pendidikan. (2010). Putrajaya : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kad Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010. (2007). Kementerian Pelajaran         Malaysia. http://www.moe.gov.my/index.php?id=21&act=research&rid=4. Diakses 29      Mei 2011.

Kad Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010. (2008). Kementerian Pelajaran         Malaysia. http://www.moe.gov.my/index.php?id=21&act=research&rid=8. Diakses 29      Mei 2011.

Mohd Shuid & Mohd. Fauzi Yunus. (2007). Pengajian Malaysia. Petaling Jaya: Logman.

Nazaruddin Mohd Jali, Ma,rof Redzuan, Asnarukhadi Abu Samah & Ismail Mohd             Rashid. (2004). Pengajian Malaysia .Petaling Jaya: Pearson Hall.

Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan             Pendidikan. (2001). Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rancangan Malaysia Ke-9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. (t.t.) Edisi Pelancaran.             Putrajaya : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Zainal Abidin Ahmad & Mazlan Zulkifly. (2005) Pengajian Malaysia: LANH 1303. Kuala             Lumpur: OUM.

No comments:

Post a Comment